Ketika di Port Dickson baru-baru ini aku telah menginap di sebuah hotel yang pernah aku dan keluarga diami beberapa kali. Oleh kerana berpuas hati dengan layanan dan keadaan hotel dimasa yang lalu aku terus sahaja mendaftar dan membuat bayaran.
Malangnya ketika aku melangkah masuk ke bilik, alangkah terperanjatnya aku sebab keadaan telah berubah sama sekali. Keadaan bilik itu tidak terurus dengan baik. Habuk dan sawang melekat dilangsir tingkap. Lantai yang baru dimop masih basah lenjun. Tilam telah uzur dan berkeriut dengan bisingnya ketika kita bergerak di atasnya. Yang paling menjijikkan aku adalah paip saluran najis dari bilik bahagian atas tidak dibaiki dan telah menyebabkan bilik mandi di bahagian bawah menerima sebahagian dari titisan air najis itu.
Isteriku terjerit sekuat hatinya ketika membuka langsir tingkap untuk menikmati keindahan laut kerana tiba-tiba sahaja seekor cicak yang gemuk melompat dari langsir itu.Pada sebelah malamnya isteriku telah mencadangkan supaya kami balik sahaja ke rumah, namun aku dan anak-anak berjaya memujuknya supaya terus bermalam di hotel itu lantaran RM 218 yang telah kami bayar.
Pada sebelah paginya aku dan keluaga telah ke restoran hotel untuk sarapan percuma kami. Sekali lagi aku terperanjat dengan keadaan kerana walaupun restoran itu berhawa dingin namun masih banyak lalat yang berterbangan. Hal ini kerana kain alas meja tidak dibasuh dan masih kelihatan kesan kari yang tertumpah di atas kain alas meja itu. Makanan yang disediakan juga amat menyedihkan bagi taraf sebuah hotel. Nasi goreng berencah ikan bilis, bihun goreng dan roti beserta sosej ayam. Minuman yang disediakan cuma kopi dan air kosong.
Memandangkan kupon percuma hanya untuk dua orang maka terpaksalah aku membayar tambahan untuk dua orang lagi kerana kami berempat. Aku dikenakan bayaran tambahan sebanyak RM 20.
Aku kesal kerana semua urusan hotel itu diuruskan oleh orang Melayu sebangsa dengan aku. Aku percaya jika pengurus dan semua kakitangan hotel bersungguh-sungguh menjalankan tugas mereka, hotel itu tidak akan berada didalam keadaan sedemikian rupa. Aku yakin mereka tidak perlu mengiklankan hotel mereka kerana orang yang pernah menginap di sana pasti akan dapat membantu menyebarkannya.
Di sinilah letaknya tanggungjawab terhadap tugas. Sepatutnya semua yang terlibat memberi seratus peratus tumpuan kepada tugasan masing-masing. Tentu tidak ada tandas yang bocor. Cicak pasti tidak bersarang di tingkap yang bersih. Penyelia pasti tahu bila waktu yang sesuai untuk menukar tilam dan lain-lain perabut. Restoran yang menyajikan makanan yang enak pasti akan menarik ramai pelangan. Bahagian pengurusan tentu dapat memantau kedudukan kewangan dan seharusnya tahu bila dan kemana wang harus dilaburkan. Malangnya ini semua tidak berlaku.
Jika semua ini diberi perhatian, aku pasti hotel ini akan sentiasa menjadi tumpuan pelancong. Semoga mereka akan berubah.
No comments:
Post a Comment