Sunday, July 19, 2009

PD Dalam Hidupku

Port Dickson bukan nama asing di dalam hidupku. Aku mula tahu tentang bandar kecil di Negeri Sembilan ini sejak dari kecil lagi. Ketika umurku 15 tahun aku memasuki AFATS, sebuah sekolah aliran sains dan teknik yang diujudkan oleh Angkatan Tentera Malaysia. Selepas menamatkan persekolahan peringkat menenggah aku menceburkan diri sepenuh masa sebagai anggota tentera. Di PD lah aku mula menjalani latihan untuk bekerja dan selepas tamat latihan aku kembali semula berkhidmat sebagai jurulatih rekrut tentera, juga di PD.

Aku pernah tinggal di Wisma Perwira RAMD yang terletak di tepi pantai diantara pekan Bt 4 hingga Bt 5. Ketika itu aku masih bujang. Selepas mendirikan rumah tangga, aku mendiami banglo angkatan tentera yang kini telah berdiri sebuah hotel betul-betul di hadapannya menghalang pemandangan terus ke laut. Ketika aku di PD terlalu banyak peristiwa yang aku alami telah mencorak hidup aku hingga hari ini.

Siang tadi aku berkunjung ke pekan PD kesayanganku. Aku lihat kembali sekolah yang pernah aku habiskan tiga tahun dari usiaku. Tiga tahun terbaik di dalam hidupku. Aku injak pepasir yang pernah ku injak ketika usia mudaku. Ku renangi air lautnya yang pernah membasuh keringatku. Aku hirup udara bersih tepian pantainya yang pernah mengisi dadaku ketika usia remajaku.

Anak-anakku mungkin tidak mengerti kenapa aku begitu teruja setiap kali berkunjung ke PD. Tika ayah di PD lah ayah memupuk rasa cinta yang sejati terhadap mama mu. PD lah tempat ayah menjumpai jati diri ini. Di PD lah ayah mula belajar segala-galanya.

Walau pun PD telah banyak berubah namun apa yang pernah aku lakukan di sini tidak mungkin dapat diubah.

1 comment:

Baskoheng said...

Salam Hormat.

Pakcik, bg ler besor ckit tulisan tu.
Sy nak baca tak nampak ni.
Bg kaler putih ker, ok kot.
Cian sy, dah le rabun, nampak tulisan kuning terus rasa nak pitam.
He...he...
Jgn mare.. :-P