Friday, July 31, 2009

Menghargai Pejuang


Ketika aku menulis ini, hatiku masih berteka teki tentang perarakan mansuh ISA yang akan diadakan esok 01 Ogos 09. Walaupun polis telah mengeluarkan amaran demi amaran namun aku dapat merasakan perarakan itu akan terus terjadi.

Sekarang ini terlalu ramai orang yang ingin menjadi "hero". Mereka mencari jalan untuk meletakkan diri ketahap yang kelihatan seolah-olah merekalah pejuang sebenar terhadap sesuatu isu. Mereka maha mengetahui tentang semua perkara. Hanya mereka yang layak untuk menjuarai semua agenda. Pandangan dan nasihat orang lain lansung tidak diendahkan. Jika kehendak mereka tidak tertunai, berdemonstrasi adalah jalan pilihan. Tiada lagi semangat bermuafakat dan keinginan untuk berbaik-baik.

Undang-undang menjadi mainan dan ditafsir mengikut keuntungan kumpulan masing-masing. Saman demi saman difailkan di mahkamah. Segala hal semua boleh disaman. Perasaan mereka lansung tidak boleh terguris-tersinggung. Saman, saman, saman dan saman.

Dibibir para pemimpin ini kerap menyebut perkataan rakyat. Mereka mendabik dada; "Kembalikan hak rakyat", "Saya mewakili rakyat", " semua yang saya lakukan ini untuk rakyat". Rakyat, rakyat, rakyat dan rakyat. Sungguh berhati dan berjiwa rakyat mereka semua ini. Hakikatnya kuasa dan wang. Semudah itu tafsirannya.

Tuan-tuan semua,

Sila toleh kebelakang, balik ke sekolah, dan semak buku-buku sejarah. Belajarlah dari sejarah. Lihat sekeliling kita. Ambil iktibar dari kejadian-kejadian di negara orang lain. Lihatlah keadaan negara yang menyelesaikan masaalah dengan berdemontrasi, berjayakah mereka? Jika selesai, berapa lama kerajaan mereka bertahan? Adakah kumpulan yang kalah berpuas hati? Tidakkah mereka juga akan berdemonstrasi untuk menentang tuan-tuan kelak?

Tanya diri tuan-tuan, berbaloikah apa yang aku lakukan? Benarkah aku jujur hendak memperjuangkan nasib rakyat? Adakah dengan berdemonstrasi rakyat yang terlibat terjamin akan selamat tidak akan tercedera walaupun tercalar sedikit jua pun? Jika jawabnya ya, teruskanlah namun jika tidak, berhentilah, jangan lakukan.

Ingat tuan-tuan, Aceh dilanda tsunami lantaran rakyatnya bercakaran dan berbunuhan sesama mereka. Jangan biarkan keadaan serupa melanda negara kita yang tercinta ini. Ingat tuan-tuan, bumi yang tuan-tuan injak ini ada darah, ada keringat para pejuang yang tertumpah lantaran keinginan mereka melihat bumi bertuah ini selamat selama-lamanya.

Hargai jasa para pejuang ini.


No comments: