Tuesday, August 4, 2009

Ini adalah email aku kepada Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini.

Assalamualaikum Dato' Sri,

Tahniah kerana telah memerintah Malaysia selama 100 hari dengan jayanya. Saya ingin menarik perhatian Dato' Sri terhadap satu golongan bekas-bekas tentera yang berhenti berkhidmat tetapi tidak mendapat bayaran pencen bulanan. Saya tidak dapat jumlah sebenar mereka tetapi saya yakin mereka amat ramai. Melalui pengalaman hidup, saya telah bertemu dengan golongan ini yang terdiri dari bekas pegawai dan juga LLP. Lantaran saya adalah salah seorang dari mereka maka kami selalu berjumpa dan berbincang tentang nasib yang seakan-akan tidak diberi perhatian oleh kerajaan. Walhal kebanyakan di antara kami pernah berkhidmat sepanjang tempoh dharurat menentang kominis. Selepas berhenti di atas pelbagai sebab kami hanya dibayar saguhati perkhidmatan. Sebagai contoh bagi diri saya sendiri saya hanya mendapat imbuhan RM 24,000 untuk perkhidmatan selama 4 tahun sebagai perantis dan 11 tahun sebagai pegawai. Jumlah ini terlalu kecil namun saya bersyukur kerana dengan imbuhan ini saya telah memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dan berjaya juga menyara keluarga dengan bantuan dari pendapatan isteri. Sepanjang tempoh "bersara" selama 21 tahun ini saya tidak pernah berhenti bekerja dan telah melakukan pelbagai kerja sehingga ketahap paling rendah membina kubur dan menjual besi buruk. Selain dari mendapat rawatan percuma, golongan yang tidak berpencen ini tidak ada apa-apa pampasan atau sebagainya dari kerajaan. Saya akui terdapat ramai di antara bekas-bekas tentera yang berjaya dengan cemerlang tetapi yang tidak berjaya mengharungi kehidupan lebih ramai lagi.

Dato' Sri,

Latihan dan disiplin yang kami terima sepanjang perkhidmatan menyebabkan kami tidak pernah bersunggut. Memang ada diantara kami yang menentang kerajaan dan memasuki parti lawan tetapi yang setia dan terus mengundi
kerajaan tetap lebih ramai lantaran kasih dan cinta kami terhadap negara yang telah kami pertahankan dengan darah dan keringat kami.

Dato' Sri,

Saya memohon supaya Dato' Sri melakukan sesuatu dan mengambil perhatian terhadap nasib golongan kami ini agar kami tidak merasa terpinggir di dalam gagasan Satu Malaysia yang Dato' Sri uar-uarkan.

Sekian, terima kasih.

No comments: