Sunday, March 15, 2009

Terkilan

Setelah sekian lama aku tidak menulis, hari ini aku bertekat untuk menulis semula lantaran peristiwa semalam yang membuat aku terkilan kerana tidak peka.
Semalam 15 March kira-kira jam 1600 aku dalam perjalanan ke Masjid Tanah, Melaka melalui Lebuhraya PLUS. Selepas kawasan rehat Pedas Linggi aku yang sedang memecut memperlahankan keretaku kerana beberapa buah kereta yang datang dari arah bertentangan memberi isyarat lampu seolah-olah ada "speed trap" di hadapan.
Sangkaan ku meleset sama sekali kerana sebenarnya terdapat banyak keping atap zink terpakai berserakan di atas jalan. Zink itu masih bercacakan paku di atasnya. Semua pemandu memperlahankan kenderaan masing-masing untuk mengelak zink itu dan memecut semula. Aku pun sama seperti pemandu-pemandu lain, terus memecut selepas berjaya melepasi rintangan itu.
Namun setelah agak jauh baharulah aku mula teringat bahawa ketika aku melintas halangan tadi aku nampak seorang lelaki penunggang motosikal jenis cup bersusah payah menarik zink itu ketepi untuk memudahkan pengguna lain melintasi tempat itu. Aku juga nampak penunggang itu menyuruh anak perempuannya yang aku kira berumur lebih kurang enam tahun berdiri di belakang penghadang jalan berhampiran dengan motosikalnya.
Tiada sesiapa pun yang menolongnya. Aku ulangangi, "tiada sesiapa pun yang menolongnya," termasuklah aku.
Sehingga saat ini aku masih terkilan kerana tidak memberhentikan kereta dan menghulurkan tangan untuk menolongnya. Aku kesal dan tersangat kesal. Lelaki itu jauh lebih mulia dari aku.
"Ya Allah, aku memohon kepada Mu, engkau permudahkanlah Lelaki Mulia tadi di dalam kehidupannya di dunia ini dan di dunia akhirat kelak." Amin.

No comments: