Wednesday, January 12, 2011

Meminang Masakini

Semenjak saya termasuk di dalam golongan orang-orang berumur pertengahan abad dan anak-anak serta anak-anak buah telah menjadi bujang teruna dara, saya telah beberapa kali menjadi wakil mahupun jurucakap urusan pinang meminang. Setiap kali terpilih (dipaksa) saya sering mencari maklumat di internet untuk cara-cara yang betul dan sesuai. Namun kebanyakannya tidak sesuai dan tidak ada cara yang khusus bagi menjalankan upacara pertunangan.
Melalui pengalaman, ingin saya perturunkan sedikit tatacara yang telah saya reka sendiri bagi urusan meminang seorang gadis. Segala pantun yang saya titipkan di sini adalah pantun yang saya kutip di dalam laman-laman web, pantun yang saya ubah suai dan juga pantun rekaan saya sendiri.

Assalamualaikum ..............................

Sudah lama langsatnya condong,
Barulah kini batangnya rebah.
Sudah lama niat dikandung,
Baru sekarang diizinkan Allah.

Yang dihormati,

Tuan rumah, Encik ................ dan Puan .................... Tuan ................(Wakil/Jurucakap pihak perempuan), tuan-tuan, puan-puan, adik-adik dan anak-anak sekalian.

Dari Pauh singgah Permatang,
Singgah merapat papan kemudi.
Dari jauh keluarga kami datang,
kerana besarnya hajat di hati.

Sampan sarat mudik ke Pekan,

Sarat dengan kayu jati,

Sebelum hajat kami nyatakan,

Izinkan kami memperkenalkan diri.

Saya ......................(Nama jurucakap) telah ditugaskan menjadi jurucakap kepada rombongan ini. Kami yang hadir pada petang ini semuanya terdiri daripada ahli keluarga. Keluarga tertua kami ialah Puan .................., yang merupakan ibu kepada Encik ..................... Encik .................. dan Puan ................... merupakan ibu bapa kepada ...................., ..................., ..................., (Nama adik beradik jejaka) dan seorang lagi anak mereka yang misteriiii......

Berapa tinggi pucuk pisang,
Tinggi lagi asap api.
Berapa tinggi Gunung Ledang,
Tinggi lagi harapan kami.

Daun raya diatas bukit
Tempat raja menanam pala.
Harapi kami bukan sedikit,
Sebanyak rambut atas kepala.

Sudah lama kami ke tasik,
Tali perahu terap belaka.
Sudah lama kami merisik,
Baru berani bertemu muka.

Tinggi-tinggi si matahari,
Anak kerbau mati tertambat.
Sekian lama kami mencari,
Baru sekarang kami mendapat.

Mencari madu di dalam hutan,
Singgah berenang di persiraman.
Bagai pungguk rindukan bulan,
Kumbang kami sudah tak keruan.

Cantik memanjat pohon ara,
Nampaknya cantik berseri laman.
Besar hajat kami tidak terkira,
Hendak memetik bunga jambangan tuan.

Tuan .........................(Nama wakil pihak perempuan)

Dari perkhabaran orang..
Kami mendapat tahu bahawa keluarga En ................... dan Puan ......................., menyimpan sekuntum bunga,yang dijaga dan di belai rapi. Disirami kasih sayang tidak terperi, laksana intan baiduri. Puteri mereka ,(Sebutkan nama gadis yang hendak dipinang) yang kami maksudkan ini.

Kami pula menyimpan seekor kumbang. Anak kepada Encik ................... dan Puan .................... Anak mereka yang saya katakan misteriii tadi. ...........................(Nama jejaka) diberi nama. Kumbang jantan yang lepas bebas. Namun, kini telah terpikat kepada bunga di jambangan tuan.

Hendak menyunting intan tuan,
Hendak bernaung di rumah ini,
Hendak menyambung tali darah,
Hendak mengikat tali keluarga.

Ya ... Tuan ..................(Sebut nama wakil pihak perempuan) .... mohon sampaikan hasrat kami, kepada ayahda dan bonda si puteri.
Minta diterimalah hendaknya hajat kami...

Bukan tekat sebarang tekat,
Tekat menjadi hiasan kain.
Bukan hajat sebarang hajat,
Hajat merasmikan nikah kahwin.

Selepas pinangan diterima pihak perempuan, sambunglah lagi beberapa rangkap pantun sebagai penutup.

Orang membelat di tepi pantai,
banyak dapat ikan tembakul.
Yang kami hajat sudah tercapai,
Yang kami doakan sudah terkabul.

Kalau gugur buah setandan,
Sampai ke tanah baru tergolek.
Kami bersyukur kepada Tuhan,
Datang kami disambut baik.

Barulah kini batangnya rebah.
Rebah pula menyembah bumi
Baru sekarang diizinkan Allah.
Agar dapat menyatu dua hati

Singgah merapat papan kemudi.
papan juga dibawa belayar
kerana tuan yang baik hati.
cinta yang lama sudahpun mekar

Tekat menjadi hiasan kain.
Tekat dari zaman dahulu
Hajat merasmikan nikah kahwin.
Supaya hidup boleh bersatu




No comments: