Ketika aku menulis ini, hatiku masih berteka teki tentang perarakan mansuh ISA yang akan diadakan esok 01 Ogos 09. Walaupun polis telah mengeluarkan amaran demi amaran namun aku dapat merasakan perarakan itu akan terus terjadi.
Sekarang ini terlalu ramai orang yang ingin menjadi "hero". Mereka mencari jalan untuk meletakkan diri ketahap yang kelihatan seolah-olah merekalah pejuang sebenar terhadap sesuatu isu. Mereka maha mengetahui tentang semua perkara. Hanya mereka yang layak untuk menjuarai semua agenda. Pandangan dan nasihat orang lain lansung tidak diendahkan. Jika kehendak mereka tidak tertunai, berdemonstrasi adalah jalan pilihan. Tiada lagi semangat bermuafakat dan keinginan untuk berbaik-baik.
Undang-undang menjadi mainan dan ditafsir mengikut keuntungan kumpulan masing-masing. Saman demi saman difailkan di mahkamah. Segala hal semua boleh disaman. Perasaan mereka lansung tidak boleh terguris-tersinggung. Saman, saman, saman dan saman.
Dibibir para pemimpin ini kerap menyebut perkataan rakyat. Mereka mendabik dada; "Kembalikan hak rakyat", "Saya mewakili rakyat", " semua yang saya lakukan ini untuk rakyat". Rakyat, rakyat, rakyat dan rakyat. Sungguh berhati dan berjiwa rakyat mereka semua ini. Hakikatnya kuasa dan wang. Semudah itu tafsirannya.
Tuan-tuan semua,
Sila toleh kebelakang, balik ke sekolah, dan semak buku-buku sejarah. Belajarlah dari sejarah. Lihat sekeliling kita. Ambil iktibar dari kejadian-kejadian di negara orang lain. Lihatlah keadaan negara yang menyelesaikan masaalah dengan berdemontrasi, berjayakah mereka? Jika selesai, berapa lama kerajaan mereka bertahan? Adakah kumpulan yang kalah berpuas hati? Tidakkah mereka juga akan berdemonstrasi untuk menentang tuan-tuan kelak?
Tanya diri tuan-tuan, berbaloikah apa yang aku lakukan? Benarkah aku jujur hendak memperjuangkan nasib rakyat? Adakah dengan berdemonstrasi rakyat yang terlibat terjamin akan selamat tidak akan tercedera walaupun tercalar sedikit jua pun? Jika jawabnya ya, teruskanlah namun jika tidak, berhentilah, jangan lakukan.
Ingat tuan-tuan, Aceh dilanda tsunami lantaran rakyatnya bercakaran dan berbunuhan sesama mereka. Jangan biarkan keadaan serupa melanda negara kita yang tercinta ini. Ingat tuan-tuan, bumi yang tuan-tuan injak ini ada darah, ada keringat para pejuang yang tertumpah lantaran keinginan mereka melihat bumi bertuah ini selamat selama-lamanya.
Hargai jasa para pejuang ini.
Mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, biadap membawa maksud 1 tidak tahu adat; kurang ajar: 2 belum maju lagi; masih kuno cara kehidupannya.
Sejak akhir-akhir ini, di Malaysia telah menular perbuatan-perbuatan biadap yang telah menyebabkan banyak kerosakkan. Perbuatan biadap ini berlaku di mana-mana sahaja seperti di Parlimen, Dewan Undangan Negeri, ceramah-ceramah politik, di jalan raya, di dalam kenderaan awam dan seribu satu macam tempat yang kadangkala tidak terlintas di hati kita.
Kesan dari biadap kerana tidak tahu adat dan kurang ajar menyebabkan ada rakyat yang tidak menghormati raja dan adat resam kaum-kaum lain di negara ini. Ramai yang tidak lagi menghormati lagu kebangsaan Negaraku, malahan mempermain-mainkannya. Di jalan raya pula perbuatan biadap dapat kita lihat setiap hari. Di dalam kenderaan dan tempat awam juga demikian. Harta benda awam tidak lagi dapat bertahan lama kerana pasti ada sahaja tangan-tangan jahat yang menjahanamkannya.
Pelaku biadap ini terdiri dari semua lapisan masyarakat. Terlalu ramai sehingga sukar hendak dituliskan satu persatu. Saya percaya kita semua tahu siapa mereka dan mungkin juga kita tidak terkecuali dalam masaalah ini.
Negara kita yang tercinta ini,akan musnah sama sekali dengan perlakuan kita yang semakin biadap setiap hari. Kita sebenarnya memang kuno di dalam kehidupan. Tidakkah kita terfikir untuk mengubahnya? Adakah terlalu sukar untuk kita mengawal diri agar tidak berperangai biadap? Tidak sayangkah kita kepada negara ini?
Ketika didalam satu perjalanan jauh baru-baru ini, anak-anak saya telah bercerita tentang bagaimana mereka telah mambatalkan niat untuk membuat penggat pisang lantaran kekeliruan tentang pisang. Ceritanya lebih kurang begini:
Anak-anak saya, perempuan berumur 24 tahun-masih menuntut di luar negara. Lelaki 18 tahun pengangur (menunggu penaja untuk ke sekolah penerbangan), Mereka berdua jarang berjumpa kerana kakak jarang balik ke Malaysia.
Jadi si kakak banyaklah seleranya, al maklum sahajalah di luar negara segala-galanya terhad. Mereka berdua teringin untuk membuat pengat pisang. Oleh yang demikian mereka berdua telah ke pasar untuk mencari pisang yang sesuai. Sambil mencari mereka bersetuju untuk menggunakan pisang tanduk. Jadi mereka berdua pun mencarilah buah pisang tanduk yang mereka langsung tidak ada "clue" bagaimana rupa bentuknya. Pada hari itu pula nasib tidak menyebelahi mereka kerana kesemua gerai yang menjual pisang tidak ada menyimpan stok pisang tanduk pada hari itu. Walaubagaimanapun gerai terakhir yang mereka singgah meminta mereka menunggu sebentar kerana mungkin ada lagi stok agaknya. Si penjual terbongkok-bongkok mencari pisang tanduk di bawah meja akhirnya dia telah berjaya mendapatkan dua biji pisang tanduk lalu menunjukkan kepada anak-anak saya. Woo! anak-anak saya terperanjat besar kerana pisang yang ditunjukkan jauh dari apa yang mereka bayangkan. Mereka ketawa terbahak-bahak kerana lansung mereka tidak menjangka pisang yang mereka cari bersaiz sebesar itu. Mereka tidak jadi membeli pisang itu kerana mama mereka tidak pernah membuat pinggat pisang menggunakan pisang tanduk.
Pengajaran dari cerita ini adalah kita sebagai ibu bapa jangan mengambil mudah tentang perkara-perkara seperti ini kerana pada masa sekarang anak-anak terlalu dibebankan dengan mengulangkaji pelajaran untuk lulus cemerlang di dalam pelajaran demi kesinambungan hidup yang terlalu mencabar tanpa ilmu dan kelulusan akademik yang cemerlang. Saya sebagai bapa telah mengabaikan aspek pendedahan anak-anak kepada kehidupan sebenar sekeliling mereka semasa mereka masih kecil.
Saya sarankan agar luangkanlah masa membawa anak-anak anda keserata tempat sambil mengajar dan menunjukkan mereka perkara-perkara yang pada kita mungkin remeh tetapi bagi anak-anak ia mungkin sahaja sesuatu yang baharu.
Ketika di Port Dickson baru-baru ini aku telah menginap di sebuah hotel yang pernah aku dan keluarga diami beberapa kali. Oleh kerana berpuas hati dengan layanan dan keadaan hotel dimasa yang lalu aku terus sahaja mendaftar dan membuat bayaran.
Malangnya ketika aku melangkah masuk ke bilik, alangkah terperanjatnya aku sebab keadaan telah berubah sama sekali. Keadaan bilik itu tidak terurus dengan baik. Habuk dan sawang melekat dilangsir tingkap. Lantai yang baru dimop masih basah lenjun. Tilam telah uzur dan berkeriut dengan bisingnya ketika kita bergerak di atasnya. Yang paling menjijikkan aku adalah paip saluran najis dari bilik bahagian atas tidak dibaiki dan telah menyebabkan bilik mandi di bahagian bawah menerima sebahagian dari titisan air najis itu.
Isteriku terjerit sekuat hatinya ketika membuka langsir tingkap untuk menikmati keindahan laut kerana tiba-tiba sahaja seekor cicak yang gemuk melompat dari langsir itu.Pada sebelah malamnya isteriku telah mencadangkan supaya kami balik sahaja ke rumah, namun aku dan anak-anak berjaya memujuknya supaya terus bermalam di hotel itu lantaran RM 218 yang telah kami bayar.
Pada sebelah paginya aku dan keluaga telah ke restoran hotel untuk sarapan percuma kami. Sekali lagi aku terperanjat dengan keadaan kerana walaupun restoran itu berhawa dingin namun masih banyak lalat yang berterbangan. Hal ini kerana kain alas meja tidak dibasuh dan masih kelihatan kesan kari yang tertumpah di atas kain alas meja itu. Makanan yang disediakan juga amat menyedihkan bagi taraf sebuah hotel. Nasi goreng berencah ikan bilis, bihun goreng dan roti beserta sosej ayam. Minuman yang disediakan cuma kopi dan air kosong.
Memandangkan kupon percuma hanya untuk dua orang maka terpaksalah aku membayar tambahan untuk dua orang lagi kerana kami berempat. Aku dikenakan bayaran tambahan sebanyak RM 20.
Aku kesal kerana semua urusan hotel itu diuruskan oleh orang Melayu sebangsa dengan aku. Aku percaya jika pengurus dan semua kakitangan hotel bersungguh-sungguh menjalankan tugas mereka, hotel itu tidak akan berada didalam keadaan sedemikian rupa. Aku yakin mereka tidak perlu mengiklankan hotel mereka kerana orang yang pernah menginap di sana pasti akan dapat membantu menyebarkannya.
Di sinilah letaknya tanggungjawab terhadap tugas. Sepatutnya semua yang terlibat memberi seratus peratus tumpuan kepada tugasan masing-masing. Tentu tidak ada tandas yang bocor. Cicak pasti tidak bersarang di tingkap yang bersih. Penyelia pasti tahu bila waktu yang sesuai untuk menukar tilam dan lain-lain perabut. Restoran yang menyajikan makanan yang enak pasti akan menarik ramai pelangan. Bahagian pengurusan tentu dapat memantau kedudukan kewangan dan seharusnya tahu bila dan kemana wang harus dilaburkan. Malangnya ini semua tidak berlaku.
Jika semua ini diberi perhatian, aku pasti hotel ini akan sentiasa menjadi tumpuan pelancong. Semoga mereka akan berubah.
Port Dickson bukan nama asing di dalam hidupku. Aku mula tahu tentang bandar kecil di Negeri Sembilan ini sejak dari kecil lagi. Ketika umurku 15 tahun aku memasuki AFATS, sebuah sekolah aliran sains dan teknik yang diujudkan oleh Angkatan Tentera Malaysia. Selepas menamatkan persekolahan peringkat menenggah aku menceburkan diri sepenuh masa sebagai anggota tentera. Di PD lah aku mula menjalani latihan untuk bekerja dan selepas tamat latihan aku kembali semula berkhidmat sebagai jurulatih rekrut tentera, juga di PD.
Aku pernah tinggal di Wisma Perwira RAMD yang terletak di tepi pantai diantara pekan Bt 4 hingga Bt 5. Ketika itu aku masih bujang. Selepas mendirikan rumah tangga, aku mendiami banglo angkatan tentera yang kini telah berdiri sebuah hotel betul-betul di hadapannya menghalang pemandangan terus ke laut. Ketika aku di PD terlalu banyak peristiwa yang aku alami telah mencorak hidup aku hingga hari ini.
Siang tadi aku berkunjung ke pekan PD kesayanganku. Aku lihat kembali sekolah yang pernah aku habiskan tiga tahun dari usiaku. Tiga tahun terbaik di dalam hidupku. Aku injak pepasir yang pernah ku injak ketika usia mudaku. Ku renangi air lautnya yang pernah membasuh keringatku. Aku hirup udara bersih tepian pantainya yang pernah mengisi dadaku ketika usia remajaku.
Anak-anakku mungkin tidak mengerti kenapa aku begitu teruja setiap kali berkunjung ke PD. Tika ayah di PD lah ayah memupuk rasa cinta yang sejati terhadap mama mu. PD lah tempat ayah menjumpai jati diri ini. Di PD lah ayah mula belajar segala-galanya.
Walau pun PD telah banyak berubah namun apa yang pernah aku lakukan di sini tidak mungkin dapat diubah.
Buat mereka yang masih muda, yang belum merancang apa-apa untuk anak-anak anda saya mencadangkan anda mula memikirkan bagaimana hendak membuat persediaan kewangan untuk pelajaran anak-anak anda. Mungkin sahaja anda mengatakan anda belum ada anak lagi namun anda perlu juga membuat perancangan awal. Hal ini kerana belanja untuk pelajaran anak-anak sangatlah tinggi.
Melalui penggalaman saya dimana anak sulung saya membuat kursus ijazah terpaksa berbelanja sekitar RM 28 000. Manakala anak kedua saya membuat ijazah perubatan di luar negara terpaksa berbelanja sekitar RM 1.2 juta. Bagi anak ketiga saya pula, untuk memasuki sekolah penerbangan terpaksa berbelanja sekitar RM 240 000.
Saya sangat bernasib baik kerana anak pertama saya mendapat pinjaman PTPTN manakala anak kedua pula ditaja oleh MARA. Namun untuk anak ketiga saya masih terkial-kial mencari penaja bagi membolehkannya menjadi seorang Pilot.
Oleh yang demikian saya menyarankan anda yang mahu anak-anak anda maju di dalam kehidupan mereka agar merancanglah dari sekarang. Ingat menuntut ilmu itu sangat dituntut di dalam ugama kita.
Seperkara lagi perlu diingat adalah melunaskan hutang. Saya menentukan anak-anak saya membayar hutang mereka sebaik sahaja mereka mula bekerja. Kita perlu ingat peluang untuk orang lain mendapat pinjaman akan tersekat lantaran kita gagal membayar hutang. Hal ini terjadi kepada anak bongsu saya yang tidak dapat pinjaman MARA kerana mereka kehabisan peruntukan. Jadi marilah bertanggungjawab.