Saturday, November 8, 2008

Opah dan nenek

Ibuku dipanggil oleh cucunya sebagai Opah manakala ibu mertuaku nenek. Biar Opah mahu pun nenek, mereka tetap segar dalam ingatan minda aku dan cucu-cucunya.

Ibuku seorang suri rumah biasa. Seorang isteri yang setia. Sangat pandai mengaji Al Quran. Ramai anak muridnya yang berjaya mengaji dengan baik hasil usaha kesabarannya mengajar mereka. Aku juga berjaya khatam Quran walau pun menempuh segala macam dugaan. Maklum sajalah yang mengajar tu ibu sendiri. Aku sering kali mengelak untuk mengaji dan hasilnya kerap juga rotan belah empat yang menjadi senjata ibuku hinggap di pehaku. Walaupun sakitnya tak seberapa tetapi disebabkan manja aku akan menanggis seberapa daya untuk membuat dia memujuk aku semula. Selalunya helah aku tidak berjaya sementalah dia yang melahirkan aku. Segala helahku semua dia tahu. Ibu kesayangan ku lahir pada tahun 1920 dan kembali kerahmat Allah kira-kira 2 jam selepas YAM Tunku Abdul Rahman menghembuskan nafas terakhir pada 06 Dis 1990.

Atoks



Bapa-bapa kami istimewa orangnya. Bapaku Batan bin Supi manakala bapa kekasihku ialah Mohamad Zain bin Deraman.

Bapaku seorang pejuang yang tidak pernah jemu berjuang mencari rezki. Dia hanya melakukan kerja-kerja kampong seperti mengambil upah memetik kelapa, menebas kebun kelapa, nelayan, tukang kebun dan banyak lagi kerja-kerja yang pernah di lakukannya. Paling menarik bapaku seorang yang sangat mahir memanjat pokok kelapa. Di Kampong kami, beliau memang terkenal sebagai orang yang akan diupah untuk memanjat pokok kelapa sekiranya buah kelapa dari pokok itu tidak dapat dikait kerana terlalu tinggi. Beliau dilahirkan pada tahun 1903 dan telah kembali kerahmat Allah pada 10 Feb 1984. Disepanjang hayatnya beliau pernah mendirikan rumah tangga dengan 8 orang isteri tetapi tidak pernah memadukan mereka. Menurut beliau isteri-isterinya itu bercerai secara baik atau pun kerana meninggal dunia. Ibuku adalah isterinya yang terakhir. Dari lapan perkahwinan itu beliau hanya di kurniakan enam orang cahaya mata dan akulah anak bongsunya.

Bapa mertuaku pula seorang anggota tentera. Beliau telah melibatkan diri sebagai tentera semasa Rejimen Askar Melayu Diraja masih di bawah pemerintahan tentera British lagi. Beliau pernah berjuang menentang tentera Jepun semasa era penaklukan Jepun ke atas Malaya. Selain itu beliau merupakan pejuang semasa dharurat menentang Parti Kominis Malaya. Banyak kisah-kisah menarik perjuangannya yang pernah diceritakannya kepadaku.
Kelebihan bapa mertuaku ini adalah di dalam menguasai bahasa. Beliau berkeupayaan menguasai Bahasa Inggerish, Jepun, Mandarin, India, Tagalok dan Thai. Kerap terjadi, jika beliau dan ibu mertuaku ingin merahsiakan sesuatu dari kami, beliau akan berbicara di dalam bahasa Mandarin.

Friday, November 7, 2008

Dia


Dia amat bertuah kerana ibu dan bapanya terfikir untuk mengambil dan menyimpan gambar semasa dia masih bayi lagi.
Kekasih ku ini lahir pada 23 Okt 1959. Bulan Oktober seperti juga bulan kelahiran aku - 05 Okt 1957. Semasa kelahirannya, bapa mertuaku masih lagi berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia. Justeru tempat kelahiran kekasihku ini adalah di Hospital Angkatan Tentera Kinrara, Puchong, Selangor. Dia dibesarkan di dalam keluarga sederhana yang terdiri dari 2 orang Kakak dan seorang abang. Setelah dia agak besar ibu bapa mertua ku mengambil pula anak saudara mereka sebagai anak. Pengambilan ini lebih kepada rasa simpati kerana ketika itu adik kepada ibu mertuaku tidak sihat selepas melahirkan. Tambahan pula mereka juga baru kehilangan anak (adik kepada kekasihku) kerana sakit.
Gambar ini telah hampir rosak ketika ku temui. Dengan sedikit imaginasi aku telah berjaya membaik pulih gambar ini.